Pulau Bohey Dulang, Semporna



Assalaamualaikum semua. Pergi jalan mana je cuti sekolah ni? Ni nak kongsikan sikit percutian kami sekeluarga pada hujung tahun 2017. Setiap tahun memang kami telah merancang untuk bercuti bersama-sama keluarga dimana-mana lokasi. Kami akan peruntukan masa bercuti bersama setiap kali cuti sekolah (setiap tahun). Inilah masa untuk kami meluangkan masa bersama memandangkan kalau kebiasaan pada hari biasa saya dan suami masing-masing fokus dengan tugas maisng-masing. Anak pula bersekolah. Oleh itu, memandangkan saya dan suami mempunyai minat yang sama iaitu ‘sukakan pulau’ kami telah mengambil keputusan untuk bercuti ke sebuah pulau.

Setelah keputusan telah dibuat, akhirnya suami mengambil keputusan untuk menjelajah ke pulau-pulau yang terdapat di Sabah, iaitu Pulau Bohey Dulang, Semporna, Sabah.

Pulau Bohey Dulang merupakan antara kepulauan tercantik didunia, terletak di Celebes Sea, Semporna, Sabah. Pulau ini terbentuk daripada hasil aktiviti gunung berapi suatu ketika dahulu. Pulau Bohey Dulang ini sebenarnya terbentuk dari batuan volkanik. Ianya meliputi kawasan seluas 313 hektar.






Keistimewaan Pulau Bohey Dulang ini berbanding dengan pulau-pulau lain yang ada disekitar adalah pulau ini mempunyai puncak bukit setinggi 300 meter. Dari puncak ini, kita boleh menikmati pemandangan yang sangat cantik dan indah keseluruhan pulau yang membiru. Menakjubkan! Pemandangan yang sangat menenangkan jiwa. Tetapi untuk kita menikmati keindahan pemandangan itu, ada satu ‘syarat wajib’ iaitu perlu ‘hiking’. Laluan yang agak sukar dan mencabar sejauh 600 meter yang mengambil masa antara 45 minit ke 1 jam untuk sampai ke puncak. Bergantung kepada keadaan laluan pendakian. Laluan pendakian ini akan semakin mencabar jika keadaan selepas hujan. Walau bagaimanapun, yakin dan percaya bahawa segalanya berbaloi dan akan ‘terbayar’ segala penat lelah pendakian jika telah sampai ke puncak dan dapat menikmati keindahan alam ciptaan Allah swt.

Inilah antar sebab atau faktor utama kami memilih pulau ini sebagai destinasi utama dan penutup tahun 2017. Pendakian Pulau Bohey Dulang – Antara Pulau Tercantik didunia!



Comments

Popular Posts